i
Musim buah-buahan tahun 60-an. Aku, datuk, nenek dan abang bermalam di dusun di lereng bukit menghadap sawah nan luas.
Pondok berdinding buluh, atapnya nipah, lantai dan tiang batang nibong dibina datuk di dalam rimbun pohon manggis, langsat, rambai, cempedak, rambutan, durian dan nangka.
Di sebelah pondok mengalir anak sungai dari sebuah mata air. Air dari sungai ini disalur ke pondok melalui batang buluh yang dibelah dua. Kesejukan dan kejernihan air ini berlegar-legar di memori.
Selepas sahaja solat subuh datuk akan mengutip buah durian yang gugur di atas hamparan rumput hijau begemerlapan dengan taburan embun pagi.
Suatu malam bening, nenek di sebelah sudah nyenyak tidur. Abang terlelap dengan buku di tangan. Datuk masih di sejadah berzikir. Lampu pelita minyak tanah berkerdip diusik bayu dari atas bukit.
Aku menarik selimut. Dingin malam menusuk-nusuk. Mimpi masih belum bertandang.
Sahutan unggas dan orkestra cengkerik saling mencabar dalam kegelapan. Aku sedikit resah. Mungkin pulut dimakan bersama durian dan santan siang tadi masih belum sempurna penghadamannya.
Menoleh pada datuk, yang rupanya sudah tersandar di dinding, mata terpejam sambil tasbih masih di jari.
Wah, situasi semakin merisaukan. Aku seorang sahaja yang masih belum tidur. Dan di luar pondok berbagai bunyi mencurigakan menghimpit keselesaanku.
Ku cuba gapai sempadan alam mimpi. Namun ia terlalu jauh.
Tiba-tiba, halus gemersik bagai alunan serunai, menyelinap antara anyaman kelarai buluh di dinding, suatu irama begitu mengasyikkan!
Merdu meliuk lintok di celah fabrik malam. Aku terpesona.
hakcipta terpelihara/ teh tam/ wind flower
No comments:
Post a Comment